PEMBUNUHAN J.W.W.BIRCH
Gambar dari kiri Dato' Maharaja Lela, Sultan Abdullah dan Dato' Sagor
Sejarah Melayu membuktikan bahawa campur tangan Inggeris di negeri-negeri tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka banyak dicetuskan oleh masalah dalaman negeri-negeri tanah Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, masalah yang berlaku di negeri Perak adalah disebabkan oleh kesilapan Raja Abdullah yang mengundang Inggeris ke Perak akibat perbalahan merebut takhta Sultan dengan Raja Bendahara Raja Ismail.
Lahirnya pejuang bangsa Melayu di Perak (di sini penulis menggunakan perkataan ‘pejuang’ daripada ‘penentang’) seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan Sultan Abdullah sendiri berlaku setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874.
Ada beberapa pendapat menyatakan bahawa Sultan Abdullah dan pengikutnya tidak layak diiktiraf sebagai pejuang bangsa ekoran daripada kesilapan mereka sendiri yang mengundang campur tangan Inggeris ke Perak. Sama ada pendapat tersebut betul atau tidak, hanya pembaca sahaja yang boleh menilai dan mentaksirkan daripada cerita yang berlaku sehinggalah pembunuhan J.W.W Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875.
PEMBUNUHAN J.W.W. BIRCH DI PASIR SALAK
KESIMPULAN
Pembunuhan J.W.W Birch adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan pembesar negeri terhadap tindak-tanduk Birch. Birch telah menggunakan kedudukannya sebagai Residen Inggeris di Perak dengan meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan untuk membolehkannya mengambil alih kuasa kerja-kerja mengutip cukai daripada pembesar-pembesar Perak tetapi telah ditolak oleh Sultan Abdullah.
Pada 20hb Julai 1875, J.W.W Birch sekali lagi mendesak Sultan Abdullah menurunkan tandatangannya dan mengugut Sultan akan diturunkan daripada takhta seandainya baginda enggan menandatangani surat penyerahan kuasa tersebut. Akibatnya Sultan Abdullah terpaksa akur dengan ugutan Birch dan menandatangani surat perjanjian tersebut.
Rentetan daripada peristiwa itu, sebanyak 7 kali mesyuarat sulit telah diadakan oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah dengan orang-orang besarnya bagi membincangkan perihal pembunuhan J.W.W Birch yang diadakan dari bulan Mac hingga September 1875.
Sultan Abdullah bersama-sama dengan JWW Birch, Raja Chulan (di atas riba Birch), Dato’ Laksamana, Swettenham dan Dato’ Syahbandar. Dato’ Sagor (bulatan) berdiri di belakang Sultan Abdullah. Gambar ini diambil di Bandar Bahru pada 1875
Saat J.W.W Birch dibunuh di Pasir Salak
J.W.W Birch dibunuh ketika sedang mandi di atas rakit berdekatan perahunya. Birch ketika itu baru balik dari lawatannya di Pasir Salak untuk melihat kerja-kerja menampal poster pengisytiharan Inggeris mengambil alih pungutan cukai, dan bercadang untuk bermalam dalam perahu sebelum pulang ke Bandar Baru pada keesokkan hari.
Pandak Indut telah diarahkan oleh Dato’ Maharaja Lela merejam lembing ke arah tempat Birch mandi. Rejaman tersebut menyebabkan Birch jatuh ke dalam sungai. Birch yang masih bernyawa berenang ke darat meminta pertolongan dan pada ketika itulah Si Puntum menerpa dan menetak kepala Birch dengan parang panjangnya. Mayat Birch ditemui pada petang keesokkan harinya, sejauh 182.9 meter dari tempat kejadian.
Kematian Birch telah menyebabkan Inggeris berang dan melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W Birch. Pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris di bawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang Melayu yang disyaki telah dibakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah diserang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Askar-askar Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguhpun kekurangan senjata dan taktik peperangan, orang-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris seperti yang berlaku di Kota Lama. Peperangan ini telah berlarutan sehingga tahun 1876 dan berakhir setelah semua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W Birch ditangkap dan dibicarakan.
Asal-usul campur tangan Inggeris di Perak
Dipetik dari Wikipedia bahasa Melayu.
Hal ini bermula akibat daripada perselisihan merebut takhta kerajaan ekoran kemangkatan Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke-24 yang mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi baginda enggan berbuat demikian. Ini telah menyebabkan jenazah Almarhum Sultan Ali tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.
![]() |
RAJA ABDULLAH BERPAKAIAN INGGERIS |
Akibat daripada peristiwa tersebut, berlakulah perselisihan faham yang berlarutan antara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping itu juga, terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan antara dua buah kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, iaitu Ghee Hin dan Hai San di sekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku di sepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.
Pergaduhan dan perselisihan faham bagi merebut takhta kerajaan ini telah digunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalaman negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan negeri Perak dapat dieksplotasi sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka.
Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka, pada 20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Pangkor.
Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan martabat kuasa mutlak raja-raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri diserah bulat-bulat kepada budi bicara Residen Inggeris yang secara langsung diberi tanggungjawab oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa sistem Residen.
Perjanjian Pangkor dan pelaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan antara golongan-golongan yang bersengketa di negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor, Inggeris beranggapan bahawa perjanjian ini akan dipatuhi oleh semua pihak dan tidak akan ditentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah dikotak-katikkan.
Orang-orang besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.
Sebelum kedatangan J.W.W. Birch, pembesar-pembesar Melayu telah berpecah tiga kerana merebutkan takhta berikutan kemangkatan Sultan Ali ibni Sultan Shahabuddin Riayat Shah, Sultan Perak ke-24 (1865-1871), tetapi tidaklah sampai merosakkan negeri Perak yang amat kaya dengan bijih timah itu. Kehadiran lelaki Inggeris, bertubuh kurus, bermisai melenting, berwajah bengis, berambut kerinting sebagai Residen Inggeris pertama Perak pada bulan Januari 1874 telah merubah landskap situasi politik dan pemerintahan di Perak.
J.W.W Birch merupakan seorang Residen yang paling angkuh, suka memperlekeh dan merendah-rendahkan kedaulatan Perak telah menerbitkan api dendam yang membara di dalam dada orang-orang besar Perak, sehinggakan terbit gerakan sulit untuk membunuh J.W.W Birch.
KESIMPULAN
Campur tangan Inggeris di negeri Perak bukan sahaja dicetuskan oleh Sultan Abdullah bahkan dicetuskan oleh salah satu kongsi gelap pelombong Cina di Perak bernama Ghee Hin.
Menurut sumber dari buku “The Golden Chersonese and The Way Thither” (diterbitkan pada tahun 1892 oleh G.P Putnam dan anak-anak), Raja Abdullah telah meminta pertolongan rakannya di Singapura, Tan Kim Ching untuk merangka surat kepada Gabenor Sir Andrew Clarke, meminta pertolongan campur tangan Inggeris di Perak. Begitu juga dengan kongsi gelap Ghee Hin yang mengutus surat meminta pertolongan daripada pihak Inggeris.
Rentetan campur tangan Inggeris menyebabkan Perak terpaksa menerima seorang Residen British, iaitu J.W.W Birch. Akibat daripada tindak-tanduk dan keangkuhan Birch serta ekoran daripada Perjanjian Pangkor, Sultan Abdullah dan pengikut-pengikutnya bangkit menentang Inggeris di Perak sehinggalah membawa kepada pembunuhan Birch.
Pembesar-pembesar Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch akhirnya ditangkap setelah mereka menyerah diri. Ramai antara mereka yang dihukum gantung dan dibuang negeri, diasingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi termasuklah Sultan Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan