Ahad, 15 Disember 2013

 
ABDUL RAZAK DALAM KENANGAN
 

Monday, August 27, 2007

ABDUL RAZAK AHMAD DALAM KENANGAN

(Ucapan Norman Fernandez di Majlis Mengenang
Abdul Razak Ahmad pada 26hb Ogos 2007
Hotel Selesa, Johor Bahru)

Hadirin yang dihormati,

Hari ini genaplah tiga minggu pemergian Sdr Abdul Razak Ahmad ataupun lebih dikenali dengan panggilan Razak Ahmad. Sdr Razak Ahmad yang lahir pada 6hb Jun 1939 menyahut seruan Allah pada hari Ahad 12hb Ogos 2007.

Hari ini kita bersama-sama rakan-rakan kenalan dan sahabat Razak Ahmad berhimpun dimajlis peringatan ini untuk mengimbas kembali dan mendengar coretan perjalanan hidup serta perjuangan politik Sdr Razak Ahmad. Hari ini kami berhimpun untuk memberikan penghormatan terakhir kepada seorang insan yang cukup dihormati dan disanjung ramai.

Bagi pihak DAP Negeri Johor, izinkan saya untuk menyampaikan rasa takziah kepada isteri Sdr. Razak Ahmad, Pn Kintan Mohd Amin, anak-anaknya Zulkifli, Juliah, Faizal dan Azlina diatas pemergiannya.

Hadirin,

Saya berasa sungguh bertuah kerana dapat mengenali Sdr Razak Ahmad secara peribadi. Sdr Razak Ahmad seperti saya adalah peguam yang menjalankan amalan guaman di Johor Bahru. Sdr Razak Ahmad adalah graduan Undang-Undang dari Universiti Singapura dan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada 10hb September 1973.

Sebagai peguam, beliau terkenal sebagai sebagai seorang yang beretika apabila menjalankan tugas dan mendapat penghormatan bukan sahaja dari peguam yang lain tetapi juga dari hakim-hakim. Beliau menjadi pembela kepada yang tersisih dan tertindas. Beliau pernah membela orang-orang kampung kawasan Gelang Patah yang kehilangan tanah dibawah Akta Pengambilan Tanah dan pernah mengingatkan orang-orang Melayu di Gelang Patah agar jangan tergoda dengan habuan yang ditaburkan untuk tanah-tanah mereka. Suatu hari “apabila wang yang diterima kamu hari ini habis, kamu akan insaf dengan tindakan silam kamu. Tanah orang Melayu yang terlepas takkan kembali.”

Sekali lagi apabila Wilayah Pembangunan Iskandar di lancarkan, Sdr Razak Ahmad mengingatkan orang Melayu kepada apa yang terjadi di Gelang Patah dahulu untuk dijadikan iktibar. Pernah suatu hari semasa saya berbincang dengan Sdr Razak Ahmad tentang WPI, beliau dengan nada sayu meluahkan, jika orang Melayu tidak sedar, WPI akan melihat kepada kehilangan lebih banyak tanah orang Melayu. Masanya akan datang bila orang Melayu tidak akan memiliki tanah. Peringatan kepada nama “Tanah Melayu” akan hanyalah kepada peninggalan silam yang terukir pada koc Keretapi Tanah Melayu. Semoga rakyat di WPI mengambil iktibar dari amanat Sdr Razak Ahmad.

Sebagai orang politik, saya mula mengenali Sdr Razak Ahmad secara terdekat semasa kemelut politik sekitar tahun 1998. Namun perjuangan politiknya sudah bermula ketika Sdr Razak Ahmad menuntut di Universiti Singapura tahun. Idealisme dan semangat untuk berkhidmat kepada rakyat membuatnya menceburkan diri dalam Parti Rakyat dan di penghujung hayatnya beliau bersama dengan Parti Keadilan Rakyat. Apa yang boleh diperhatikan ialah kepercayaan dari awal lagi kepada konsep multiculturalism.

Walaupun berkali-kali Sdr Razak Ahmad bertanding dalam pilihanraya namun tuah kemenangan tidak memihaknya. Paling dekat ialah pada tahun 1986 apabila Sdr Razak Ahmad kalah di DUN Tanjung Puteri dengan 22 undi dan kemudian kesahihan keputusan ini telah dicabarnya di Mahkamah yang akhirnya memutuskan bagi pihak Sdr Razak Ahmad. Dalam pilihanraya kecil Sdr Razak Ahmad sekali lagi kalah dengan hanya 31 undi.

Hadirin,

Sdr Razak Ahmad akan dikenali sebagai seorang insan biasa yang sedia kedepan dan berani berdiri bersama rakyat yang tersisih dan tertindas. Sdr Razak Ahmad menabur budi membela nasib rakyat tanpa memikir tentang ganjaran peribadi mahupun keselesaan diri untuknya. Bayangan hukuman undang-undang sama sekali tidak mengoyahkan perjuangannya.

Sehingga hari ini ramai masih memperkatakan bagaimana pada tahun 1974 Sdr Razak Ahmad menunjukkan solidaritinya bersama dengan hampir 200 warga setinggan yang kehilangan tanah dirampas pihak berkuasa dan berkhemah bersama mereka di perkarangan Bukit Timbalan. Sdr Razak Ahmad ditangkap dan ditahan dibawah ISA dan kemudiannya diletakkan dibawah Restricted Residence selama dua tahun. Kesalahannya hanyalah kerana tampil membela nasib warga setinggan Tasek Utara.

Bagi ramai, tahanan dalam ISA sudah cukup untuk melunturkan semangat politik. Tetapi bukan bagi Sdr Razak Ahmad. Semangat menegakkan keadilan tetap berkobar dan keinginan berjasa untuk insan tertindas tetap disanubari.

Pada tahun 1986, melihat kepada kekejaman Zionis terhadap rakyat malang Palestin dan untuk menarik perhatian kepada ketidakadilan di bumi Palestin, Razak Ahmad membantah kedatanganan Presiden Israel Chaim Herzoq ke Singapura. Beliau memberanikan diri berbaring di landasan keretapi Johor Bahru untuk menghalang tren KTM menghala ke Singapura. Razak Ahmad membuat sedemikian bukan untuk meraih publisiti murahan tetapi untuk membuka mata rakyat dan dunia kepada keperitan rakyat Palestin dan menghantar mesej kepada rakyat Palestin bahawa masih ada yang bersamamu.

Sekali lagi pada tahun 1995, Sdr Razak Ahmad menjadi perhatian.
Pantai dan laut adalah kurnia tuhan untuk manfaat rakyat. Tetapi pihak berkuasa apabila ditaburkan ringgit dan janji indah sanggup memfaraidkan persisiran pantai Lido kepada pemaju mengunakan alasan kononnya ingin melaksanakan pembangunan tepi pantai pada hal pembangunan sebelah pantaipun belum terlaksana.

Sdr Razak Ahmad mengambil tindakan untuk mencabar keputusan pihak kerajaan Negeri dan menyaman Majlis Bandaraya Johor Bahru. Malangnya Sdr Razak Ahmad bukan sahaja tidak berjaya dan dipaksa membayar kos tetapi lebih memilukan ialah hakim kes dalam penghakimannya menyelar Sdr Razak Ahmad sebagai “tukang sibuk”.

Kini apabila rakyat melalui tepian jalan pantai Lido kita boleh lihat melihat bagaimana cerucuk-cerucuk besi menjadi mercu tanda projek terbengkalai.
 
Saudara Razak Ahmad pernah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri dan pernah menjadi Timbalan Pengarah Tanah dan Galian. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Kerja FELDA dan pada masa itu Pengerusinya ialah Tan Sri Musa Hitam.

Hadirin, bolehlah bayangkan dengan jawatan-jawatan tinggi yang dipegangnya berpeluang untuk Sdr Razak Ahmad menikmati hidup yang lebih senang sememangnya sudah terbentang luas. Kontrak-kontrak kerajaan senang di bolotnya, menjadi Pengarah Syarikat-syarikat papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur bukannya sukar. Pinggat Datuk dan Tan Sri hanya menanti masa. Malah menjadi seorang menteri tidak begitu mustahil.

Namun, untuk menghirup dunia senang lenang hanya boleh jikalah Razak Ahmad mengabdikan diri kepada wang ringgit dengan menutup mata kepada kesemua ketidakadilan, jika Razak Ahmad sanggup bersekongkol dengan ahli politik tidak bermaruah dan memekakkan telinga kepada ratapan rakyat dan jikalah Razak Ahmad sanggup membisu dan tidak membicarakan rentetan rakyat biasa dan sedia menjadi pak turut mengipas punggung si politikus keparat.

Malah dizaman serba senang ini, bukan senang untuk mencari peguam yang sanggup berjuang bersama barisan alternatif membela rakyat yang tertindas kerana takut-takut disenarai hitam dan tidak diletakkan dalam panel bank dan pemaju.

Tetapi Sdr Razak Ahmad bukan orang sedemikian yang boleh dipancing dengan wang, jawatan dan pangkat. Kerana itulah sepanjang hayatnya dan sehingga Sdr Razak Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya Sdr Razak Ahmad melaksanakan perjuangan politiknya yang penuh dramatis dan penuh pengorbanan dengan caranya yang tersendiri. Prinsip pegangan hidupnya dan prinsip perjuangannya hanyalah satu untuk rakyat dan hanya untuk rakyat.

Benarlah bak kata ungkapan Melayu lama seperti yang terpapar dalam kad jemputan ke majlis ini “harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama”.
Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua.

Budi dan jasa Sdr Razak Ahmad Budi akan tetap dikenang.

Dalam majlis terakhir Workshop Hak-Asasi Manusia anjuran Badan Peguam Johor pada bulan Julai 2007 Sdr Razak Ahmad selepas menceritakan pengalaman politik dan kepeguaman telah memberi nasihat “ I would urge young lawyers to come forward together with senior lawyers whenever you see abuses and take it up”.

Hari ini, Badan Peguam telah kehilangan seorang yang tidak gentar membela yang teraniaya. Hari ini politik pembangkang kehilangan seorang yang lantang bersuara berani berjuang. Hari ini Malaysia kehilangan seorang patriot.

Percayalah, wahai Sdr Razak Ahmad, kamu telah berusaha dengan sebaiknya dan sudahpun sampai di garis akhir. Bersemadilah sahabatku Sdr Razak Ahmad dalam kedamaian abadi.
Norman Fernandez
25hb Ogos 2007


 


Khamis, 12 Disember 2013

KONSPIRASI TERHADAP DUNIA ISLAM MASIH TERUS BERJALAN
Dengan nama Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah dan orang-orang yang mengikutinya;
Zionis berada di sebalik agenda pemecahan paling serius abad kedua puluh ini.
 
Salah satu alasan atau sebab terjadinya perang Ahzab adalah bersatunya suku-suku Arab yang memusuhi Islam di bawah pimpinan Quraisy untuk memusnahkan agama Islam dan pengikutnya. Bermula dari peristiwa rombongan warga Yahudi Madinah yang dipimpin oleh Huyay bin Akhtab keluar dan menuju ke Mekah dan negeri-negeri di Semenanjung Arab, untuk menghasut Quraisy dan suku-suku yang lain supaya memerangi kaum muslimin, mengepung dan menghancurkan mereka.
 
Peranan yang sama juga telah dilakukan oleh Dr. Bernard Lewis, Seorang Zionis berwarganegara Amerika dan berbangsa Inggeris, kini seorang profesor di Universiti Princeton Amerika, memiliki kepakaran dalam bidang sejarah kumpulan-kumpulan Islam dan sangat terkenal permusuhannya terhadap Islam dan umat Islam. Beliau telah menyerahkan draf rancangan / agenda / gagasannya untuk pemecahan Negara-negara Islam, lalu diambil oleh Inggeris dan Amerika sebagai asas politik mereka di wilayah tersebut sejak tahun 1980.
 
Ketika meletus perang Iran-Iraq, penasihat keamanan negara, “Brezinski” di zaman Presiden “Reagan,” menjelaskan bahwa dilema yang akan ditanggung Amerika mulai dari sekarang (1980); ialah bagaimana menggerakkan perang Teluk kedua sebagai kesinambungan perang Teluk pertama yang mana Amerika mampu membetulkan sempadan yang dibuat melalui perjanjian “Sykes – Picot” (1916)?!.
 
* Ekoran dari kenyataan Brezinski ini, Bernard Lewis mulai meletakkan draf atau agendanya yang terkenal dan khusus; memecah belah negara-negara Arab dan Islam, dan mencerai-beraikan negara-negara tersebut menjadi kumpulan yang terpisah dan Negara-negara berdasarkan etnik, agama dan mazhab . Beliau turut melampirkan agendanya secara terperinci dalam bentuk peta yang disusun di bawah kelolaannya, mencakupi semua negara-negara Arab dan Islam yang dijadikan sasaran pemecahan mengikut inspirasi kenyataan Brezinski.
 
* Pada tahun 1983 dalam satu sidang tertutup, Kongres Amerika dengan sebulat suara menyetujui draf atau agenda “Bernard Lewis “. Dengan itu selesailah proses menyakinkan agenda ini, mengesahkan dan menyematkan ke dalam senarai strategi politik Amerika. Sejak dari itu bermula gerakan mempromosikan idea negara Timur Tengah, untuk menggantikan negara-negara Arab dan Islam, dan menanggalkan identiti Arab dan Islam mereka dari Negara tersebut.
 
Agenda penguasaan ke atas dunia Islam 
 
Melalui kelemahan pertubuhan Arab, kekuatan penguasaan memainkan peranan memanipulasi nasib bangsanya, dan mencari helah untuk melakukan perpecahan dan pengkaburan identitinya. Oleh kerana itu gagasan yang dicadangkan kadangkala dengan sebutan Timur Tengah baru dan kadangkala dengan sebutan Timur Tengah Raya, yang bermatlamat untuk melenyapkan identiti bangsa Arab dan Islam, dan membuka pintu untuk mengukuhkan regim Zionis Israel dan memperakui dari segi perundangan sebagai sebahagian dari negara yang sah di wilayah tersebut.
 
“Timur Tengah Baru” merupakan idea yang dicetus oleh Zionis, “Shimon Peres”, dan “Timur Tengah Raya” telah dikembangkan Amerika semasa pemerintahan Presiden Bush selepas peristiwa 11 September. Setelah itu muncul idea penggabungan Euro-Mediteranian untuk membentuk pintu yang lain, dan terakhir muncul idea dari Presiden Peranchis Nicolas Sarkozy pada tahun 2007 dengan gagasannya “Uni Mediteranian” yang menggabungkan 43 negara, termasuk 9 negara-negara Arab, di samping regim Zionis Israel.
 
Mengapa konspirasi pemecahan bermula di negara Sudan? 
 
Sudan merupakan salah satu negara-negara Arab yang luas dan berada dalam tubuh Afrika. Sudan mempunyai keistimewaan tersendiri berupa kedudukan strategik dalam lipatan sejarah dan masa yang akan datang, iaitu menjadi laluan Arab dan Islam menuju ke Afrika sama ada secara politik, geografi dan budaya, dan merupakan jambatan melintasi dua peradaban Islam dan Afrika kerana lokasi yang strategic dari segi geografi. Berdasarkan komposisi penduduk di mana Sudan terdiri dari penduduk pelbagai etnik dan bangsa; Arab dan Afrika. Justeru seruan untuk memecahkan Sudan dan membahagikan kepada dua negara merupakan inisiatif Barat dan Zionis Israel yang akan menjadi batu penghalang antara dunia Islam dan Arab dan rakyat benua Afrika, kerana telah diketahui dari segi sejarah, Sudan sejak menerima Islam menjadi jambatan yang menjadi laluan budaya Arab dan Islam ke seluruh negara-negara Afrika. Tertegaknya negara di bahagian selatan akan mengancam kesatuan ini.
 
Barat juga berharap – jika Sudan terpecah- akan berlaku rampasan kuasa yang penting di dalam suasana yang strategik di daerah sekitarnya, kemudian di Afrika Tengah dan Tanduk Afrika, dan seterusnya dalam menguasai Laut Merah.
 
Persiapan untuk memisahkan Sudan Selatan
 
Semasa kunjungannya ke Sudan, Naib Presiden Amerika(John Biden) mengumumkan keazaman Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Negara Sudan Selatan sekiranya keputusan akhir referendum memutuskan untuk berpisah. Perkara ini dilengkapkan lagi dengan perisytiharan Rusia dan China akan mengiktiraf sama. Hal ini seolah-olah memberikan gambaran wujudnya persepakatan di peringkat antara bangsa terhadap pemisahan itu. Amerika dan Zionis sangat mengharapkan ia terjadi sehingga sekalipun hasil referendum itu tidak sesuai dengan kehendak mereka. Itulah yang terjadi di Iraq. Dan Negara-negara lain memainkan peranan mencetuskan senario yang sama. Boleh jadi kenyataan terbaru Obama bahawa, jika tidak ada referendum, maka akan ada jutaan penduduknya yang terkorban, membayangkan seolah-olah dia telah mempersiapkan penyembelihan besar-besaran di daerah selatan.
 
Dalam pada itu akhbar (Washington Times) menegaskan bahwa Amerika memberikan sokongan kewangan setiap tahunnya dengan nilai billion dolar kepada Selatan Sudan, dan dana yang besar ini digunakan untuk melatih pasukan keamanan, dan pembentukan apa yang dinamakan sebagai pasukan yang mampu melindungi wilayah.
 
Ancaman pasca-pemisahan 
 
Ada pelbagai ancaman keamanan, politik dan ekonomi yang dijangkakan akan berlaku. Antaranya:
  1.  Perang antara utara dan selatan kerana pertikaian tentang garisan persempadanan wilayah “Abyei” yang kaya minyak, belum selesai.
  2. Implikasi yang berlaku dari pemisahan ialah muncul gerakan pemberontak di Darfur selatan, Kordofa Selatan, Nil Biru dan Sudan timur.
  3. Peningkatan tekanan antarabangsa terhadap Sudan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan perlindungan hak asasi manusia bertujuan mendesak dan memperhebatkan tekanan ke atas kerajaan Sudan supaya melayan tuntutan gerakan pemberontak yang lain pula.
  4. Menyusutnya pendapatan Kerajaah Sudan dari hasil minyak di selatan, di mana sekarang mencapai 80%. Penyusutan ini akan menyebabkan timbul masalah yang besar di Sudan Utara.
  5. Risiko terhadap air yang mengalir di sungai Nil yang kuotanya lebih besar untuk Mesir iaitu 55 billion meter padu untuk Mesir, dibandingkan dengan 18 billion meter padu untuk Sudan; iaitu pengagihan yang ditolak oleh gerakan pemberontak di Sudan selatan, dan menganggap bahawa kuota Mesir sangat besar. Justeru mereka menuntut kesepakatan baru, di samping mereka ingin menjual air Nil dan mengambil keuntungan daripadanya. Mereka pasti akan berusaha – dibantu oleh Israel dan Amerika – untuk membina empangan untuk menahan air dan melakukan kawalan; yang akan mengakibatkan kerugian besar di pihak Mesir, terutamanya selepas mengalami kekurangan sumber air dan peperangan merebut air.
Lalu apakah yang berlaku selepas Selatan Sudan?
 
Pemisahan Sudan selatan akan menjadi langkah awal dalam sebuah agenda untuk mengubah peta wilayah. Untuk tujuan supaya tidak nampak seperti konspirasi Zionis – Amerika saja, maka usaha untuk mendirikan Negara kecil Palestin akan menjadi sebahagian daripada agenda mengubah peta wilayah ini, supaya kewujudan Negara haram Zionis memperolehi keabsahan dari sudut perundangan dan membenarkan Zionis terlibat dalam semua urusan di wilayah ini. Dan ini bererti istilah Zionis sebagai musuh dihilangkan dan sebagai gantinya di dizahirkan dalam bentuk Negara Yahudi yang diterima dan diakui di wilayah tersebut. 
 
Setelah munculnya Negara Sudan Selatan mungkin dapat memperakui di sisi undang-undang pemecahan Palestin, dan diikuti pemecahan negara Iraq sebagai langkah berikutnya, baik sebelum atau setelahnya; dan usaha untuk memisahkan Selatan Yaman dari utara mampu memperolehi momentum politik yang lebih besar, dan selama semua orang merasa bahwa ia dapat berinteraksi dengan munculnya regim-regim baru, kerana ia dapat menular ke negara-negara lain.
 
Harapan terletak pada pertolongan Allah 
 
Biarpun apa yang berlaku terhadap umat Islam di Sudan, Palestin, Iraq, Yaman, Kashmir, China, Chechnya dan lain-lainnya di serata pelusok bumi ini, namun keyakinan dan kepercayaan kita terhadap pertolongan Allah akan memudahkan kita dan memotivasi kita untuk tetap bekerja keras dan bersungguh-sungguh sebagai sebab atau alasan dalam meraih kemenangan, Allah swt berfirman bermaksud:
 
“Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad:7)
 
Kesatuan Islam dan Arab sekarang merupakan satu-satunya jalan penyelesaian, untuk dapat membela agama, tempat-tempat suci, jiwa dan kehormatan mereka, bahkan negara dan harta kekayaan mereka, sehingga mereka dapat hidup dan menghadapi pakatan politik dunia, ketenteraan, ekonomi, dan kekejaman sistem dunia baru dengan baik.
 
Justeru, dengan kesatuan akan dapat mengembalikan martabat dan keunggulan peradaban mereka, dan memiliki kekuatan antarabangsa yang besar yang memungkinkan mereka mempunyai kemampuan untuk menghalang serangan ganas yang bertali arus ke atas mereka, seolah-olah kita melihat para pelahap sedang berebut mengambil makanan di pinggan kita, kerana menganggap kita sebagai mangsa yang lemah dan mudah diratah dek kerana perpecahan yang membelenggu kita.
 
Oleh sebab itu, marilah kita bersatu dan bekerja bersama-sama; dimulai dari rakyat, kerana merekalah pemilik keputusan, kemudian kita nantikan janji Allah berupa kemenangan dan kejayaan.
 
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan aku. dan Barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, Maka mereka Itulah orang-orang yang fasik”. (Maksud An-Nuur:55)
 
“Sesungguhnya Kami menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat)”. (Maksud Al-Mu’min:51)
 
“Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah Sebaik-baik pembalas tipu daya”. (Maksud Al-Anfal:30)
 
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. dan ke dalam Jahannamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan”. (Maksud Al-Anfal:36)
 
“Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya”. (Maksud Yusuf:21)


Risalah dari Prof. Dr. Muhammad Badie’, Mursyid Am Ikhwan Muslimin, 22-10-2010